SaHaBaT IsTiMeWa

Wednesday, October 13, 2010

Bersalin secara caesarea

Ini adalah sumber dari majalah Pa & Ma Bulan September 2010.
Kite adalah seorang pembeli setia majalah ini. Secara kebetulan ini adalah pengalam kite..anak pertama operation dan dalam dapat anak kedua dalam jarak yg dekat..boleh jadi camni rupenye ye? tapi alhamdulillah, anak kedua bersalin normal..
Terkini, doktor pakar berpendapat, jarak kelahiran seterusnya setelah melahirkan bayi terdahulu secara caesarean ialah 1/2 tahun. Namun, pendapat ini disangkal oleh Dr. Adilah Ahmad, pakar O&G di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur. Ikuti ulasannya yang dinyatakan kepada INTAN JASTINA JAMALUDDIN.

Kajian perubatan melaporkan peningkatan komplikasi rahim koyak jika jarak kelahiran selepas anda melahirkan bayi melalui kaedah caesarean di bawah 2 tahun meningkat sehingga 2 - 3 kali ganda. Oleh yang demikian, seelok-eloknya anda dinasihatkan untuk menjarakkan kelahiran melebihi 2 tahun.

Ini bermakna, sekiranya anda berhasrat untuk hamil lagi setelah menjalani pembedahan lower segment caesarean section (LSCS), ada baiknya menunggu sehingga bayi berusia sekurang-kurangnya 16 bulan ke atas. Namun, ia bergantung kepada tahap kesihatan individu. Kenyataan ini tidak semestinya sesuai untuk setiap ibu terutamanya jika anda pernah mengalami sebarang kompikasi sewaktu pembedahan LSCS terdahulu.

Perkara yang paling digeruni tentang jarak kelahiran yang rapat ialah komplikasi rahim koyak. Apabila masalah ini berlaku, setiap detik yang dilalui sangat penting untuk ditangani kerana pendarahan boleh berlaku dengan banyak dalam beberapa minit sahaja malah boleh mengakibatkan komplikasi teruk kepada anda dan bayi dalam kandungan. Anda bukan sahaja kehilangan darah yang banyak, malah bekalan darah kepada bayi kandungan boleh terputus sehingga memberi kesan terhadap fungsi organ-organnya seperti buah pinggang dan otak (jika nyawa bayi berjaya diselamatkan).

Ketahuilah, jarak kelahiran yang dinasihatkan oleh doktor ada sebabnya. Apatah lagi, beberapa perkara penting perlu diberi perhatian terlebih dahulu selepas anda bersalin. Tidak kiralah sama ada anda bersalin biasa mahupun secara pembedahan. Jarak kelahiran selamat yang disarankan membolehkan anda:


*Pulih secara fizikal dan mental daripada trauma/komplikasi bersalin pembedahan caesarean dahulu.

*Bersedia untuk hamil sekali lagi daripada segi fizikal, mental dan kewangan.

*Perhatian/kebajikan terhadap ahli keluarga lain terutamanya anak-anak.


RisikoSekiranya anda pernah menjalani pembedahan caesarean dan hamil semula, 2 isu utama perlu dibincangkan secara mendalam dengan doktor masing-masing:


1.Rahim koyak (uterine rupture atau uterine dehiscence) Koyakan berlaku menembusi seluruh ketebalan dinding rahim sehingga ke permukaan luarnya (serosa). Malah boleh menembusi sehingga menjangkau ke pundi kencing di hadapan atau ligamen lebar di bahagian tepinya.


2. Risiko terpaksa menjalani pembedahan caesarean lagi (sama ada secara elektif ataupun secara kecemasan) Peluang untuk kelahiran melalui faraj adalah sekitar 72 - 76% tidak kira sama ada secara normal atau dengan bantuan forsep/vakum. Selebihnya, terpaksa berakhir dengan pembedahan caesarean secara kecemasan. Ini bermakna, 3 di dalam 4 orang yang memilih untuk mencuba bersalin normal didapati berjaya tetapi bakinya terpaksa menjalani pembedahan caesarean secara kecemasan yang mendedahkannya terhadap risiko komplikasi-komplikasi tertentu.


Dr. Adilah turut menegaskan secara amnya, semakin kerap anda melalui pembedahan caesarean, semakin berisiko anda mengalami keadaan berikut:

*Parut pembedahan pada dinding rahim tidak utuh dan mula terbuka. Kadang kala ia berlaku sebelum proses kontraksi kelahiran bermula.

*Perlekatan melibatkan organ-organ berhampiran seperti pundi kencing sehingga mengakibatkan kesukaran doktor melakukan pembedahan caesarean dan boleh menyebabkan trauma antaranya pundi kencing koyak.

*Kesukaran menangani tumpah darah sehingga memerlukan pemindahan darah, pembedahan membuang rahim dan lain-lain.

*Risiko kehamilan berkomplikasi seperti uri bawah (placenta praevia), uri melekat ke dalam dinding rahim (placenta accreta) dan sebagainya.

Apabila komplikasi dinyatakan berlaku, ia boleh mengakibatkan kesan selanjutnya terhadap anda dan bayi akibat kehilangan darah dan kekurangan atau terhentinya bekalan oksigen.

Pilihan normal atau caesareanPanduan berikut adalah secara am sahaja. Harus diingat, setiap ibu atau kes tidak sama dan perlu dinilai secara individu. Jadi, anda mempunyai hak untuk membuat apa-apa keputusan setelah mendapat penerangan mencukupi daripada doktor. Secara amnya, jika baru sekali menjalani pembedahan caesarean, anda boleh mencuba untuk bersalin secara normal di kehamilan berikutnya jika tidak bermasalah seperti songsang, kembar, uri bawah dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada apakah jenis pembedahan caesarean yang dilalui dahulu. Kebanyakan pembedahan caesarean kini adalah jenis LSCS. Namun, jika pembedahan caesarean jenis klasik/ segmen atas/ jenis belahan T terbalik atau J dilakukan, maka kehamilan berikutnya seeloknya ditangani secara pembedahan caesarean juga.

Dalam pada itu, rekod pembedahan LSCS dahulu perlu diperiksa sekiranya ada berlaku komplikasi. Begitu juga dengan proses penyembuhan selepas pembedahan sama ada terdapat jangkitan kuman ke atas rahim (endometritis) yang boleh mengganggu penyembuhan parut pembedahan dan menjadikannya tidak kuat.

Walau bagaimanapun, jika anda telah menjalan pembedahan sebanyak dua kali (tanpa mengira sama ada kelahiran tersebut berselang dengan kelahiran normal ataupun berturut-turut secara pembedahan), keutuhan parut pembedahan tidak lagi sekuat dahulu untuk menangani kontraksi rahim sewaktu proses bersalin kelak dan dikhuatiri risiko rahim koyak bertambah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails